Pada April 1998, Raudhatus Sakinah sebagai sebuah pusat perlindungan dan bimbingan remaja puteri telah ditubuhkan oleh beberapa orang wanita yang merasakan keperluan mewujudkan tempat perlindungan untuk remaja perempuan yang tersasar. Ianya merupakan pusat penjagaan sepenuh masa yang dioperasikan sebagai salah satu usaha kebajikan bersama.
Kumpulan sasarnya adalah remaja puteri Islam yang berhadapan dengan masalah sosial dan memerlukan bimbingan dan perlindungan. Raudhatus Sakinah menyedari hakikat bahawa perangkaan kes-kes salahlaku di kalangan remaja Malaysia semakin meningkat apatah lagi di kalangan remaja melayu Islam. Bersamanya ia membawa pelbagai penyakit sosial yang akhirnya merosakkan bukan sahaja golongan remaja tetapi juga institusi keluarga dan seterusnya masyarakat.
Malaysia kini jauh lebih maju daripada sedekad yang lalu. Kemajuan ini membawa bersama perubahan gaya hidup rakyat di setiap lapisan masyarakat. Kecenderungan untuk mencapai kehidupan yang lebih selesa dan bergaya membawa bersama beberapa implikasi negatif ke dalam kehidupan. Golongan yang tidak bertanggungjawab, demi kepentingan diri sendiri, tidak segan silu mengambil kesempatan daripada golongan yang lemah. Ledakan teknologi yang di antara lain membawa bersamanya perkembangan media cetak, eletronik dan internet menjadi gelanggang dan pemangkin kepada pelbagai budaya dan nilai sumbang. Wanita dan kanak-kanak sebagai sebahagian daripada anggota masyarakat tidak terkecuali daripada terkesan dengan perubahan yang berlaku terutamanya golongan remaja puteri. Kurangnya ketrampilan keibubapaan serta ilmu, menatijahkan generasi yang kurang terdidik dengan ilmu dan amalan agama yang sempurna.